Pegawai Dietetik: Menyembuh Melalui Pemakanan

24 Dis by Picholas Phoa

Pegawai Dietetik: Menyembuh Melalui Pemakanan

Jika doktor adalah "otak" hospital, jururawat adalah "jantung" hospital, maka selayaknya pegawai dietetik digelar "perut" hospital. Pegawai dietetik merupakan pekerja kesihatan yang terlatih untuk menilai dan merawat masalah berkaitan pemakanan berdasarkan ilmu saintifik dalam bidang pemakanan dan kesihatan. Mereka bukan sahaja mengurus pesakit secara individu, malah mendidik pada peringkat komuniti.

Cik Bebiyana merupakan seorang pegawai dietetik yang muda dan berbakat. Beliau merupakan graduat Sarjana Muda Dietetik di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2019.


Q: Sila perkenalkan diri.

A: Hello, saya Bebiyana, berumur 24 tahun.

Saya berasal dari Tawau, Sabah. Saya kini bekerja sebagai Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian di Tawau Specialist Medical Center.

Q: Mengapakah saudari memilih kerjaya ini?

A: Setelah tamat pengajian matrikulasi, saya telah membaca sedikit sebanyak tentang haluan kerjaya yang saya minati. Faktor utama yang menarik minat saya terhadap kerjaya dietetik ini adalah disebabkan peluang pekerjaan yang luas dan fleksibel. Pelajar dietetik dilatih untuk menjadi pekerja kesihatan yang berupaya untuk merancang dan memantau pemakanan pesakit di hospital. Namun begitu, sekiranya tidak berminat untuk bekerja di hospital, terdapat banyak lagi pilihan kerjaya yang lain.

Q: Apakah contoh-contoh kerjaya lain sebagai graduan dietetik?

A: Contoh kerjaya adalah:

  • Dietetik sajian
  • Pengurus produk (industri farmaseutikal)
  • Nutrisi sukan
  • Jurulatih kesihatan digital
  • Ahli dietetik dalam komuniti
  • Saintis
  • Jurulatih kesihatan

Dan banyak lagi!

Q: Apakah kelayakan untuk memohon program ini?

A: Kelayakan minimum adalah

  • lulus STPM/matrikulasi/asasi dengan PNGK 3.00, dan
  • mendapat sekurang-kurangnya PNG 2.33 dalam 2 subjek: biologi, kimia, fizik/matematik, dan
  • MUET band 3, dan
  • cemerlang dalam penilaian temu duga, dan
  • lulus syarat am kemasukan

Q: Apakah bentuk soalan yang ditanya pada temu duga program dietetik?

A: Saya telah menghadiri 2 temu duga, di UPM dan USM. Kedua-dua sesi temuduga yang telah saya hadiri bertanyakan soalan yang berkaitan dengan pengetahuan am berkenaan bidang dietetik, skop pekerjaan pegawai dietetik, cara pengiraan BMI, dan perbezaan antara pegawai dietetik dan pakar pemakanan.

Q: Saya rasa ramai juga yang masih keliru perbezaan antara pegawai dietetik dan pakar pemakanan. Boleh saudari tolong jelaskan?

A: Sebenarnya teras bagi kedua-dua program ini adalah hampir sama.

Pegawai dietetik lazimnya dikawal selia oleh badan kerajaan, dan memerlukan sekurang-kurangnya sarjana muda untuk memohon. Servis dietetik lebih mengutamakan latar klinikal (hospital, klinik, dll) untuk memberi intervensi pemakanan kepada pesakit.

Pakar pemakanan pula tidak dikawal selia oleh badan kerajaan, namun latihan dan program universiti juga ada untuk pemakanan. Pakar pemakanan biasanya bekerja di latar komersial (syarikat pemakanan, pusat kesihatan, dll) untuk memberi nasihat berkaitan pemakanan untuk mencegah penyakit dalam kalangan populasi sihat.

Q: Apakah keistimewaan program dietetik?

A: Program dietetik mengaplikasikan intervensi pemakanan pada proses pemulihan pesakit. Ianya menekankan kepetingan kerjasama antara pekerja-pekerja kesihatan. Sebagai contoh, pegawai dietetik bukan saja bekerja bersama doktor dan jururawat, malah bersama ahli farmasi, pakar terapi pertuturan, dan ahli fisiologi bagi menentukan terapi dan intervensi terbaik untuk pesakit.

Fasa klinikal pula amat mencabar kerana pelajar akan didedahkan dengan pengalaman dan individu pesakit yang berbeza latar belakang dari setiap wad yang berbeza. Pesakit yang mempunyai penyakit yang sama tidak semestinya mempunyai rancangan intervensi yang sama. Faktor kewangan, agama, pilihan peribadi, serta kepatuhan juga harus diambil kira.

Pesakit kencing manis, Puan A, seorang guru mungkin memerlukan rancangan intervensi yang lebih komprehensif jika dibandingkan dengan Puan B yang bekerja sebagai surirumah. Pegawai dietetik perlu mengambil kira faktor pengurusan masa pesakit untuk mematuhi intervensi yang diberi. Sebagai pelajar dietetik dan kini bekerja sebagai pegawai dietetik, saya belajar untuk lebih empati dan melihat situasi pesakit dengan lebih mendalam.

Q: Apakah masalah pemakanan yang paling selalu dilihat dalam kalangan rakyat Malaysia?

A: Antara yang boleh saya senaraikan adalah obesiti, obsesi dan kebergantungan supplemen serta kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak. Semua masalah pemakanan dapat dielakkan sekiranya ilmu dan kesedaran terhadap pemakanan dapat ditingkatkan.

Q: Bolehkah saudari berkongsi pengalaman saudari bekerja sebagai seorang pegawai dietetik?

A: Salah seorang pesakit saya telah dimasukkan ke hospital kerana acap kali pitam oleh kerana kekurangan gula dalam darah. Keputusan darahnya juga amat membimbangkan. Pesakit tersebut masih tidak mematuhi nasihat walaupun telah menerima konsultasi dari pegawai dietetik. Saya dapati punca beliau tidak mematuhi nasihat adalah kerana tiada sokongan dari ahli keluarganya sendiri. Beliau merupakan suri rumah, manakala suami dan anak-anaknya pula sentiasa sibuk, maka beliau sentiasa di rumah bersendirian.

Saya ingat dia pernah berkata, "tiada gunanya saya masak kalau saya kena makan seorang diri". Kata-katanya membuatkan saya sedar bahawa nasihat dan bantuan tidak mencukupi, tetapi haruslah digandingkan dengan sokongan moral dari ahli keluarga sendiri. Oleh itu, jangan lupa untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga anda!

Q: Apakah rancangan saudari untuk masa hadapan?

A: Saya berharap dapat menjadi pakar dalam jaminan makanan, terutamanya dalam bidang pemakanan ibu dan anak dalam komuniti B40 dan komuniti pedalaman. Kesedaran berkenaan pemakanan haruslah diterap sejak kecil lagi. Ibu memainkan peranan yang penting dalam memberi pemakanan yang sihat untuk kandungan sejak kehamilan bermula. Percayalah, pemakanan sihat harus bermula sebelum bayi dilahirkan lagi!

Q: Apakah nasihat saudari untuk mereka yang masih lagi mencari haluan kerjaya yang sesuai untuk mereka?

A: Jika anda ingin memilih progam universiti, janganlah menghadkan pilihan dengan hanya melihat minat sahaja. Baca lebih lanjut peluang kerjaya dan gaji pekerjaan tersebut. Kajilah juga struktur pengajian, sama ada berbentuk makmal, klinikal, atau teori? Ketahui kelebihan dan potensi diri sendiri. Jika ingin mengetahui maklumat kerjaya lebih lanjut, janganlah segan untuk bertanya alumni yang berpengalaman. Akhir sekali, nikmatilah kehidupan anda sebagai pelajar sepenuhnya!

Q: Terima kasih saudari Bebiyana atas perkongsian yang amat bernas, semoga terus berjaya dalam kerjaya anda.

A: Sama-sama. Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyampaikan perkongsian ini.

ms_MYMalay