Bola Sepak Berapi: Pertarungan Hangat

3 Jan by Picholas Phoa

Bola Sepak Berapi: Pertarungan Hangat

Pernahkah anda tonton filem Shaolin Soccer di mana bola yang ditendang dengan amat kuat sehingga ianya berapi? Percayakah anda bahawa Sepak Bola Api sebenarnya wujud? Ya, ianya memang wujud!

Bola sepak berapi, atau dikenali sebagai "sepak bola api", merupakan sukan tradisional yang popular dalam kalangan remaja Indonesia. Sukan ini kebiasaannya dimainkan pada malam menjelang bulan Ramadhan.  

Peraturan sukan ini adalah hampir sama dengan bola sepak biasa, tetapi dimainkan dengan buah kelapa yang masih membara. Buah kelapa tersebut akan direndam dengan minyak tanah selama seminggu, di mana minyak tanah akan diresap oleh sabut kelapa, dan membolehkan kelapa kekal membara sepanjang tempoh permainan.

Sebelum permainan berlangsung, pemain haruslah mengikuti beberapa ritual untuk mengelakkan diri dari kecederaan. Menurut penduduk tempatan, antara ritual adalah berpuasa selama 5 hari untuk membersihkan diri, elakkan memakan makanan dimasak menggunakan api, dan membuat bacaan doa khas.

Bola sepak berapi bukanlah sekadar sukan lasak untuk menguji keberanian remaja, malah merupakan sebuah aktiviti sukan yang mampu mengeratkan silaturahim pemain. Selain itu, penonton juga berpeluang menikmati perlawanan bola sepak yang digandingkan bersama pertunjukan api!

ms_MYMalay