SMO Serah Sumbangan Kepada Pelajar SMK Badak

27 Dis by Picholas Phoa

SMO Serah Sumbangan Kepada Pelajar SMK Badak

BTOP Academy telah menerima sumbangan berbentuk 70 buah buku rujukan daripada Syarikat Muda Osman (SMO) SDN BHD pada 23 Disember 2020. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Noor Hisham Yusoff, Pengarah Eksekutif kepada Tuan Haji Rudie Yaakub, Ketua Pegawai Eksekutif BTOP Academy. Buku-buku telah diedarkan kepada pelajar-pelajar SMK Badak, Bachok, Kelantan pada Jumaat lepas (25 Disember 2020) bagi melancarkan perlaksanaan program "123 Boost Me Up".

Program "123 Boost Me Up" merupakan inisiatif BTOP Academy dalam usaha memberikan peluang kedua bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 SMK Badak yang telah gagal dalam subjek Sejarah dan Bahasa Melayu untuk belajar dan meningkatkan prestasi akademik dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal tahun 2021.

Sejak bulan Mac 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dimulakan. Hal ini telah membantut aktiviti pembelajaran dan pengajaran di setiap sekolah di Malaysia. Majoriti pelajar SMK Badak pula tidak memiliki kemudahan yang mencukupi untuk mengikuti kelas atas talian, sekali gus menyebabkan pelajar menjadi tidak bermotivasi untuk belajar. Ibu bapa mereka juga tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen.

Hal ini kerana penduduk tanah jajahan Bachok, khususnya di Badak, Mukim Melawi, majoritinya merupakan komuniti B40, dan remaja cenderung terlibat dalam gelaja sosial. Oleh itu, program "123 Boost Me Up" telah diperkenalkan dengan tujuan untuk membantu golongan remaja ini untuk lulus SPM, sekali gus dapat menjauhkan mereka dari kancah jenayah dan gejala sosial.

Program ini terbahagi kepada 3 program kecil, iaitu Intervention Class (IVC), Psychological Support Programme (PSP), dan Community Resilience Programme (CRP). Program IVC merupakan kelas intensif untuk persediaan SPM. Program ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah, untuk memenuhi syarat lulus SPM.

Kami dari BTOP Academy mengucapkan ribuan terima kasih terhadap sumbangan yang diberikan. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi kebaikan anak-anak muda.

ms_MYMalay