Hakikat Sebenar Pengajian Ijazah Undang-undang di Malaysia

7 Jan by Picholas Phoa

Hakikat Sebenar Pengajian Ijazah Undang-undang di Malaysia

Bidang perundangan merupakan salah satu program universiti yang terawal diperkenalkan sejak abad ke-11 lagi di benua Eropah. Ia merupakan bidang pengajian yang amat dipandang tinggi oleh masyarakat, di samping mempunyai peluang kerjaya yang luas.

Namun begitu, pernahkan anda berasa ingin tahu tentang pengalaman seorang pelajar undang-undang? Hari ini kita disertai oleh saudari Yang Solehah, 22 tahun, pelajar akhir tahun Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Beliau akan berkongsi realiti perjalanannya sebagai pelajar undang-undang.

Q: Hello Yang, apa khabar? Sudah bersedia untuk berkongsi pengalaman?

A: Khabar baik. Ya, sudah tentu.

Q: Baiklah, soalan pertama, mengapakah saudari pilih bidang undang-undang?

A: Saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang kerana rasa ingin tahu terhadap sistem perundangan dan undang-undang negara, di samping implementasi undang-undang pada kehidupan harian. Selain itu, undang-undang juga merupakan salah satu program profesional yang mempunyai peluang pekerjaan yang luas dan fleksibel.

Q: Apakah contoh peluang kerjaya yang ada untuk graduan undang-undang?

A: Lazimnya peluang kerjaya adalah seperti peguam, penasihat undang-undang, pentadbir undang-undang, dan pensyarah. Selain itu, graduan juga boleh menceburi kerjaya diplomat, kewartawanan, serta dalam bidang perfileman. Program ini bukan sahaja untuk melahirkan peguam sahaja, seperti jangkaan orang ramai, tetapi begitu banyak peluang kerjaya yang boleh diterokai.

Q: Bolehkah saudari kongsikan perjalanan pengajian undang-undang sehingga menjadi seorang peguam?

A: Sudah tentu. Ianya merupakan proses yang panjang dan memakan masa dalam 5.5 ke 7 tahun, bergantung kepada struktur pengajian dan program yang diambil.

Langkah 1: Pengajian pra-universiti atau diploma

Setelah tamat SPM, anda bolehlah sambung pengajian sama ada di peringkat A-Level, asasi undang-undang, ataupun STPM. Syarat kemasukab adalah berbeza mengikut institusi pengajian masing-masing. Selain itu, anda juga boleh mengambil bidang Diploma Undang Undang. Selain itu, untuk memohon program undang-undang, MUET haruslah sekurang-kurangnya Band 4.

Langkah 2: Pengajian Sarjana Muda Undang-Undang

Sekiranya permohonan anda diterima, sebelum anda memulakan pengajian selama 3 tahun, anda akan dipanggil untuk sesi temu duga. Tambahan pula, sekiranya program universiti tersebut mempunyai tahun "professional year" (contohnya seperti di Universiti Malaya), tempoh pengajiannya adalah 4 tahun. Namun sekiranya anda merupakan pelajar lepasan diploma undang-undang, anda boleh terus memasuki silibus tahun 2 pengajian.

Langkah 3: Lulus Peperiksaan Ikhtisas Undang-Undang

Untuk menjadi seorang peguam, anda perlu menduduki peperiksaan CLP (Certificate in Legal Practice) yang mengambil masa 9 bulan. Anda juga boleh memilih untuk menduduki peperiksaan BPTC (Bar Professional Training Course) di UK, dan membolehkan anda menjadi seorang peguam di England dan Wales, dan sebagai peguam bela dan peguam cara di Malaysia.

Sekiranya Sarjana Muda Undang-undang anda mempunyai "professional year", peperiksaan CLP telah pun diwajibkan dalam silibus anda.

Langkah 4: Fasa "chambering" atau "pupillage"

Setelah menamatkan pengajian, graduan perlu melakukan "chambering" (atau pupillage) selama 9 bulan. "Chambering" merupakan tempoh percubaan untuk graduan undang-undang untuk memperkasa pengetahuan dan pengalaman bekerja sebagai seorang peguam. Setelah tamat tempoh "chambering", graduan akan dipanggil ke bar untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.

Q: Adakah ujian kemasukan universiti diperlukan?

A: Mengikut pengalaman saya sendiri, tiada ujian diperlukan, tetapi temu duga adalah wajib. Sesi temu duga saya adalah pada tahun 2017. Pemohon akan diberikan situasi lakonan untuk mewakili klien. Untuk pelajar lepasan STPM pula, janganlah bimbang jika anda tidak mempunyai ilmu mendalam tentang undang-undang kerana penemu duga ingin melihat tahap keyakinan anda dalam ucapan dan percakapan anda. Saya nasihati anda untuk membaca berkenaan undang-undang seperti kontrak, jenayah dan tort.

Q: Apakah kursus yang anda pelajari dalam bidang ini?

A: Pada tahun pertama hingga tahun ketiga pengajian, pelajar akan didedahkan dengan subjek undang-undang substantif, manakala tahun terakhir pelajar akan berpeluang mempelajari subjek undang-undang prosedur.

Pada tahun pertama pengajian saya, saya mengambil subjek asas perundangan seperti undang-undang kontrak, undang-undang tort, "legal method", sistem perundangan malaysia, dan undang-undang keluarga.

Pada tahun kedua, saya mengambil subjek yg lebih rumit seperti undang-undang jenayah, undang-undang tanah, ekuiti dan undang-undang amanah, dan undang-undang perlembagaan.

Tahun ketiga pula, pelajar diberi peluang untuk memilih 14 subjek elektif berkaitan perundangan. Saya telah memilih undang-undang komersil, undang-undang syarikat, undang-undang pekerjaan, dan undang-undang hak cipta. Pada tahun ketiga pengajian juga mahasiswa/i berpeluang untuk melakukan latihan industri. Saya mengikuti latihan industri selama 2 minggu di PDRM pada semester pertama saya, dan di sebuah firma guaman pada semester kedua.

Q: Adakah saudari berpeluang mengikuti lain-lain aktiviti?

A: Ya, sudah tentu. Pelajar undang-undang memang aktif dalam mengikuti aktiviti-aktivit dalam kampus. Sebagai contoh, saya mengikuti pelbagai program dan persidangan bertahap antarabangsa dan membolehkan saya meluaskan rangkaian saya dengan pelajar undang-undang dari negara-negara asing seperti Indonesia, Thailand, Australia, dll.

Q: Apakah pendapat atau salah faham yang sering dikaitkan dengan bidang undang-undang?

A: Ramai orang berpendapat bahawa untuk menjadi seorang peguam, anda haruslah berani bersuara dan ekspresif. Ramai juga berpendapat bahawa peguam perlu naik turun mahkamah setiap hari. Untuk sesetengah peguam, ya perkara ini adalah betul. Tetapi hakikatnya bukan semua peguam adalah sebegitu! Sebagai contoh, jika anda tidak berminat untuk bekerja di mahkamah seperti saya, anda boleh memilih haluan berlainan seperti penasihat undang-undang dalaman atau diplomat.

Q: Jadi, apakah bidang yang saudari minat untuk ceburi?

A: Saya berhasrat untuk menjadi "conveyancing lawyer", kerana saya berminat dalam bidang hartanah.

Q: Apakah nasihat saudari untuk mereka yang ingin menceburi bidang ini?

A: Bidang undang-undang adalah pilihan yang bijak! Program ini bukan sahaja menekankan ilmu perundangan, tetapi juga melatih kemahiran-kemahiran baru. Anda juga boleh mengaplikasi ilmu undang-undang dalam kehidupan harian dan membantu orang ramai.

Q: Terima kasih atas perkongsian dan motivasi.

A: Sama-sama.

ms_MYMalay